Header ADS

header ads

Pengumuman Aidilfitri tergempar ‘durian runtuh’ bagi peniaga kecil KL


PETALING JAYA:
Pengumuman bahawa Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari ini ternyata memberi rahmat kepada ramai peniaga kecil di Kuala Lumpur apabila orang ramai bergegas menyelesaikan urusan membeli-belah pada saat akhir malam tadi.

Mohamad Abdullah, yang mengetuai persatuan mewakili peniaga Melayu di bandar ini berkata, ramai orang tiada pilihan selain pergi ke bazar Ramadan di sekitar kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.

“Banyak kedai-kedai besar sudah tutup, jadi semua orang terpaksa bergegas ke sini untuk beli-belah pada saat akhir.

“Mungkin sedikit menyusahkan bagi mereka yang perlu memasak, tetapi bagi peniaga, barang jualan mereka laris,” kata Mohamad, presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, lebih 1,000 peniaga di kawasan itu biasanya tidak dapat habis menjual semua produk mereka, tetapi keadaannya berlainan malam tadi.

“Ada (pelanggan) yang tak boleh balik kerana tiket dah dibeli untuk tarikh lain. Jadi, ada yang beli untuk sambutan (Hari Raya) ‘ad hoc’ sebab belum boleh balik,” katanya.

Pengumuman semalam bahawa Aidilfitri jatuh pada hari ini, bukannya esok, mencetuskan sedikit panik, dengan ramai di media sosial mengatakan mereka tidak bersedia.

Warganet malam tadi kecoh membincangkan bagaimana rancangan asal untuk lebih banyak membeli-belah bagi sambutan Aidilfitri hari ini terganggu.

Segelintir meluahkan mereka tergesa-gesa membeli ayam dan bahan-bahan lain untuk hidangan yang dirancang pada Hari Raya pertama, sebelumnya menganggap mereka masih boleh menyelesaikan urusan hari ini.

“Jangan salahkan sesiapa, saya sendiri bergegas,” kata Mohamad.

“Bagi saya, kita harus mengambil ini sebagai pengajaran untuk lebih bersedia dan tidak menunggu sehingga saat akhir.”



______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments