Header ADS

header ads

Aidilfitri satukan semula rakan-rakan sekampung


ARAU:
Selain meraikan lebaran bersama keluarga, Aidilfitri tahun ini turut bermakna bagi perantau yang dapat bertemu semula rakan-rakan baik di pagi Syawal selepas dua tahun tidak berkesempatan berjumpa.

Malah, dapat disaksikan sejurus selepas solat Aidilfitri, ramai yang berkumpul bersama dan mengambil kesempatan bermaaf-maafan serta berkongsi cerita selepas sekian lama.

Bagi Mohd. Razif Ibrahim,36, sememangnya menjadi kelaziman dia bertemu rakan-rakan baik dari zaman bangku sekolah rendah  apabila pulang ke kampung berhari raya.

Namun katanya, suasana seperti itu tidak dapat dirasaikan dua tahun lalu apabila tidak dapat pulang ke kampung ekoran sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setiap kali raya, kami akan berjumpa selepas solat Aidilfitri dan seterusnya kunjung mengunjung ke rumah rakan-rakan. Banyak perkara diperbualkan selepas sekian lama tidak berjumpa.

“Kebanyakkan rakan-rakan baik masing-masing sudah berkeluarga dan menetap di luar Perlis. Hari raya adalah kesempatan terbaik untuk kami berkumpul bersama. Alhamdulilah, tahun ini lebaran kembali disambut seperti biasa,” katanya yang menetap di Selangor.

Seorang jurutera minyak dan gas bertugas di Qatar, Muhammad Saiful Nizam Abdul Sukur,36, berkata, tahun ini dia berkesempatan pulang beraya di kampung halaman di Arau selepas dua tahun meraikan lebaran bersendirian di perantauan.

Katanya, selain bertemu keluarga, Aidilfitri juga menjadi platform untuknya bertemu semula rakan-rakan baik yang kebanyakan juga menetap di luar negeri ini.

“Sambutan Aidilfitri dua tahun sebelum ini masing-masing tidak dapat pulang ke kampung halaman dan kami hanya berhubung melalui panggilan video sahaja.

“Alhamdulilah, tahun ini boleh dikatakan semua rakan-rakan baik beraya di Perlis. Hubungan persahabatan yang terjalin sejak kecil tidak pernah terputus dan menjadi kelaziman setiap kali Aidilfitri pasti bertemu,” katanya.- UTUSAN



______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments