Header ADS

header ads

Piza telur masin, cempedak dan durian


Kalau sebut pasal Itali, ada dua produk negara itu yang paling terkenal seantero dunia. Pertama, kereta mewah jenama Ferrari, dan kedua semestinya makanan kegemaran ramai, iaitu piza.

Bercakap soal piza, sepasang usahawan Melayu telah membawa makanan rasmi Itali itu ke Putrajaya, dalam usaha menawarkan sensasi piza yang dipadankan dengan selera tempatan. Usahawan itu ialah Ghazali Ahmad Haja Moideen dan Razina Abu Bakar, pemilik perniagaan US Pizza yang terletak di Presint Diplomatik, Putrajaya.

TEPAT PADA MASA

Menurut Razina, dia bersama suami asalnya berniaga pengurupan wang, namun bisnes itu terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

“Pada mulanya, kami terpaksa kurangkan pekerja, namun lama kelamaan bisnes terpaksa gulung tikar.
“Namun, untuk berputus asa memang tiada dalam kamus hidup. Jadi, saya dan suami mula buat analisis, bisnes apa sesuai dibangunkan dalam musim wabak. Kami dapati, bisnes makanan terutama yang boleh dihantar melalui kurier amat laku kerana orang sukar keluar rumah. Jadi, kami mula membangunkan perniagaan piza,” katanya berkongsi cerita.

SELERA MALAYSIA

Mengakui persaingan cukup sengit dengan jenama lain yang terkenal, dia berkata US Pizza tampil berani mempertaruhkan beberapa menu unik.

“Siapa yang teringin piza dengan inti (topping) sambal petai, telur masin atau cempedak durian, di sini kami ada menu-menu tersebut.

“Kami juga mengekalkan menu asli dengan topping yang lazim bagi penggemar piza, seperti Italiano chicken dan sebagainya. Maka, ini memberi lebih pengalaman kepada pelanggan, yang mana suka kepada rasa asli piza dari Itali atau yang ingin mencuba sesuatu yang baru, kami ada semuanya,” katanya.

ANEKA MENU

Ada lebih 50 jenis menu ditawarkan, yang ternyata memberi kepuasan kepada pelanggan.
“Antaranya, kami ada piza tradisional Itali seperti Italian Aloha, US Favourite dan Spicy Chicken Delite. Di sini juga, ada yang jadi kegemaran cef, termasuk Indiana BBQ Smokey Duck, yang sarat inti kepingan itik salai disadur sos barbeku,” katanya.

Berpeluang menjamah aneka piza ditawarkan, ternyata pengalaman yang berbaloi. Paling mencuri tumpuan semestinya menu yang sering mendapat perhatian ramai, iaitu adjaruli kachapuri cheese boat pizza.

“Sebalik bunyi yang berbelit lidah dibuatnya, percayalah ia menu luar biasa kelazatannya. Doh berbentuk seperti bot, disaratkan dengan keju cair. Di atas lautan keju itu pula, diletak kuning telur cair.
“Apa yang menariknya, saat piza ini dihidang atas meja, cef kami akan menggaulkan kuning telur yang cair itu dengan lautan keju yang hangat. Apabila bergabung, ia menghasilkan topping yang lemak berkrim dan menyelerakan,” katanya.

Selain itu, turut dihidang adalah golden ocean salted egg pizza. Ini satu lagi menu luar biasa, apabila intinya diperbuat daripada gabungan keju dan telur masin.

RAYA TAHUN LALU

Sempat berkongsi pengalaman, berniaga di kala pandemik Covid-19 sedang mencanak naik, ternyata memberi pengalaman baru buat Razina.

“Bayangkan, sewaktu Aidilfitri tahun lalu yang mana negara di bawah PKP, di kawasan Putrajaya ini, orang kita hanya boleh keluar dalam zon ini saja. Oleh itu, rata-rata menyerbu restoran kami, ada yang pesan melalui telefon dan ada yang pandu lalu.

“Tak sangka, piza kami rupanya menjadi hidangan orang Melayu sewaktu menyambut Aidilfitri.
“Memang seronok apabila pelanggan memuji keunikan sambutan perayaan Aidilfitri mereka, yang dimeriahkan dengan hidangan piza di atas meja,” katanya.

US Pizza cawangan Putrajaya



______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments