PETALING JAYA: Tindakan seorang pemandu Toyota Alphard berlagak sebagai samseng jalanan mengundang padah apabila dia diburu polis setelah aksinya itu menjadi tular di media sosial di sini hari ini.
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Bukit Aman menerusi kenyataan memaklumkan video berkenaan memaparkan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard warna putih dipandu secara berbahaya dengan memotong di lorong kecemasan dan melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Pemandu Toyota Alphard ini juga dilihat melakukan tindakan membuli pengguna jalan raya lain ketika kejadian.
“Tindakan pemandu ini boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan hanya kepada dirinya tetapi kepada pengguna jalan raya yang lain,” kata JSPT dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata kenyataan itu, semakan dijalankan mendapati kejadian berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (arah timur).
“JSPT mendapati kejadian berlaku pada 30 April lalu (Sabtu) dekat Lebuhraya KL-Karak (arah timur) dan semakan pemilik kenderaan ini telah dikenal pasti.
“Pemandu ini diminta segera menyerah diri ke Balai Trafik IPD Gombak atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Tular video berdurasi 2.25 minit memaparkan sebuah MPV jenis Toyota Alphard warna putih dipandu secara berbahaya dengan memotong di lorong kecemasan dan melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya yang lain dan tular di laman sosial Facebook. – UTUSAN
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments