Sudah menjadi perkara biasa bagi mana-mana bank atau syarikat kewangan meletakkan syarat pemohon pinjaman perlu ada penjamin. Penjamin ini pula boleh terdiri dari kalangan ahli keluarga atau pun sahabat handai asalkan si penjamin mempunyai rekod kredit yang baik dan pendapatan yang stabil.
Menjadi penjamin untuk seseorang bukanlah satu perkara yang remeh. Ada pelbagai risiko yang perlu anda hadapi terutamanya jika peminjam gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman.
Sebab itulah kita perlu peka dengan 5 perkara di bawah sekiranya seseorang nak kita jadi penjamin mereka.
1. Tahu Tujuan Pinjaman
Penting untuk kita tahu tujuan peminjam ingin memohon pinjaman tersebut. Ini supaya kita jelas sama ada pinjaman tersebut untuk sesuatu yang bermanfaat atau sia-sia. Kita juga berpeluang untuk mendapatkan gambaran yang jelas sama ada mereka mampu untuk menjelaskan bayaran balik pinjaman atau pun tidak.
Sekiranya kita tidak setuju atau ragu-ragu dengan tujuan pinjaman tersebut dilakukan, jangan takut untuk menolak dari menjadi penjamin mereka.
2. Pertimbangkan Kemampuan Kita
Kata orang tua-tua, sediakan payung sebelum hujan. Kalau kita sedang mempertimbangkan untuk menjadi penjamin, kita perlu membuat sedikit kira-kira.
Adakah kita mampu untuk membuat bayaran balik pinjaman sekiranya peminjam tiba-tiba tidak mampu atau mungkin lebih teruk lagi, melarikan diri dari tanggungjawab beliau untuk melunaskan pinjaman?
Kita bukan sahaja bertanggungjawab untuk melunaskan tunggakan, tetapi perlu juga menanggung kos-kos tambahan yang lain!
3. Teliti Kontrak Dan Perjanjian Pinjaman
Jangan malas untuk membaca dokumen perjanjian yang perlu anda tangani. Teliti dan fahami setiap perkataan yang terdapat di dalam dokumen perjanjian tersebut.
Nak lebih jelas lagi, dapatkan khidmat peguam supaya hak kita sebagai seorang penjamin adalah dilindungi. Nak lagi selamat, sediakan surat ganti rugi.
Sekiranya kita mengalami kerugian akibat peminjam melarikan diri dari menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang peminjam, tindakan mahkamah boleh diambil. Kalau peminjam mengelak untuk menandatangani surat ganti rugi tersebut, lebih baik kita batalkan niat untuk menjadi penjamin.
4. Jangan Tandatangan Dokumen Kosong
Kalau peminjam memberikan kontrak kosong untuk ditandatangani, jangan sain kontrak tersebut. Minta mereka isi kontrak tersebut dengan lengkap supaya kita tahu berapa jumlah pinjaman, kadar faedah dan juga tempoh kontrak pinjaman tersebut.
5. Kesan Terhadap Rekod CCRIS
Nak tolong orang, tak salah. Tetapi untuk menjadi seorang penjamin, kita perlu pertimbangkan kesan terhadap rekod CCRIS dan juga kedudukan kredit kita sekiranya bersetuju untuk menjadi penjamin.
Kesimpulan
Menjadi seorang penjamin merupakan tanggungjawab yang besar bukan sahaja daripada segi kewangan tetapi juga mental. Kita perlu bersedia menanggung tunggakan hutang orang lain sekiranya peminjam tidak membayar kembali pinjaman tersebut.
Sebab itulah kita perlu lebih teliti dan tegas sebelum bersetuju untuk menjadi menjamin untuk sesiapa pun. Jangan disebabkan kerana ingin menjaga hubungan, kita pula yang merana di kemudian hari.
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments