Header ADS

header ads

Gelaran 'syaitan': Ramasamy tak ikhlas mohon maaf, kata Zakir Naik


Pendakwah warga India Dr Zakir Naik menyifatkan ‘permohonan maaf’ oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy kerana menggelarnya sebagai ‘syaitan’ sebagai tidak bersungguh dan tidak ikhlas.

Zakir yang mempunyai status penduduk tetap Malaysia berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan saman fitnahnya terhadap Ramasamy, hari ini.

Antara sejumlah kenyataan didakwa fitnah dalam saman itu adalah hantaran Facebook Ramasamy pada 10 April 2019, di mana dia didakwa menggelar Zakir sebagai 'syaitan'.

Dua hari kemudian (12 April 2019), Ramasamy menyuarakan kekesalannya terhadap penggunaan perkataan ‘syaitan’ terhadap penceramah itu.

Laporan media ketika itu melaporkan Ramasamy meyuarakan kekesalan, bukannya permohonan maaf, berhubung gelaran itu.

Ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Zakir berkata dia keberatan untuk menerima “permohonan maaf" Ramasamy kerana defendan tidak menyampaikannya kepada plaintif secara sendiri dan/atau melalui peguamnya.

“Saya menolak untuk menerima dan/atau memperakui (conceding) 'permohonan maaf' defendan yang tidak bersungguh dan/atau tidak ikhlas.

“Dalam apa jua keadaan, 'permohonan maaf' tersebut (yang ditolak) hanya merujuk kepada perkataan ‘syaitan’ dan bukan terhadap kata-kata fitnah dalam hantaran Facebook tersebut," katanya.

Zakir fail dua saman fitnah

Perbicaraan di depan hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz hari ini berhubung dua saman fitnah sivil yang difailkan Zakir terhadap Ramasamy pada akhir 2019.

Saman pertama difailkan pada 16 Oktober 2019, berhubung empat kenyataan Ramasamy yang dikeluarkan pada 10 April 2016; 1 Oktober 2017; 11 Ogos 2019; dan 20 Ogos 2019.

Pada 30 Disember 2019, Zakir dilaporan memfailkan satu lagi saman fitnah terhadap Ramasamy, berhubung kenyataannya yang turut diterbitkan oleh laman The Malaysian Insight pada 8 November.

Selain Ramasamy, Zakir juga telah memfailkan saman fitnah terhadap bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dan bekas duta Dennis J Ignatius.

Tindakan undang-undang itu difailkan susulan kenyataan kontroversi Zakir semasa satu program ceramah di Kelantan pada 8 Ogos 2019, mengenai penyebaran Islam secara aman di kepulauan Melayu.

Hari ini, Zakir berkata kenyataan Ramasamy bukan saja menjejaskan reputasinya sebagai pendakwah, tetapi membawa risiko kepada keselamatan diri dan keluarganya.

Dia berkata terpaksa membelanjakan RM10,000 sebulan untuk pengawal keselamatan demi menjamin keselamatannya dan keluarga.

"Sekarang saya upah pengawal keselamatan 24/7 (24 jam sehari, tujuh hari seminggu). Saya perlu belanja RM10,000 setiap bulan ekoran kenyataan semberono seorang individu yang ada agenda peribadi dan motif politik," katanya.



______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

1 Comments

  1. antara kedua2 siapa lebih mendekati atau lebih berkawan rapat dengan setan, hintnya korang pikir2lah sendiri

    ReplyDelete