Header ADS

header ads

Tahu pakai tapi tak tahu cara betul buang pelitup muka, ikuti 4 langkah ini...


PEMAKAIAN
pelitup muka sudah menjadi kebiasaan sejak seluruh dunia dilanda wabak Covid-19.

Perunding di Pusat Nasional Penyakit Berjangkit Singapura, Dr. Wong Chen Seong berkata, pelitup muka yang tidak dihapuskan dengan betul boleh membahayakan kesihatan orang lain jika ia disentuh.

Pelitup muka perlu dibuang dengan betul agar ia tidak mendatangkan bahaya kepada orang lain.

Dr. Wong berkata, ini terutama bagi pelitup muka yang kotor dan mempunyai titisan pernafasan pada permukaannya.

"Semua sedia maklum, Covid-19 boleh menular kepada orang lain melalui kontak iaitu jika ada secara tidak sengaja menyentuh pelitup muka yang kotor yang mungkin mempunyai virus, mereka mungkin boleh dijangkiti," katanya seperti dilaporkan MediaCorp.

Tambahnya, pelitup muka yang sudah digunakan boleh menjadi risiko penyebaran virus ke udara.

"Jika ia terdedah, dengan angin kencang, ada sedikit risiko penyebaran boleh berlaku menerusi titisan di udara.

"Membuang pelitup muka sesuka hati adalah menjijikkan dan boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain," ujarnya.

Pekerja pembersihan terpaksa merisikokan diri mereka ketika mengutip pelitup muka yang dibuang di merata tempat.

Kajian yang dilakukan pakar juga mendapati virus boleh bertahan selama beberapa jam hingga beberapa hari.

Sementara itu, Dr. Wong memberitahu iklim panas dan lembap juga berkemungkinan boleh membuatkan virus itu bertahan sehingga dua ke tiga hari.

Katanya, bukan sahaja virus Covid-19, tetapi terdapat pelbagai kuman yang berbeza dapat bertahan pada pelitup muka terpakai untuk jangka masa berbeza.

Sebagai contoh katanya, bakteria dapat hidup selama berbulan-bulan hingga bertahun-tahun jika disimpan di tempat sejuk.

Sementara itu, Pakar Penyakit Berjangkit, Pusat Pakar Mount Elizabeth Novena, Dr. Leong Hoe Nam pula memberitahu beberapa langkah patut diambil sekiranya ingin membuang pelitup muka pakai buang dan ini termasuklah;

Terdapat cara melipat pelitup muka sebelum dibuang.

1. Mencuci tangan sebelum menanggalkan pelitup muka kerana menyentuh muka dengan tangan yang tidak dicuci akan menyebabkan seseorang lebih mudah diserang penyakit.

2. Tanggalkan pelitup muka dan lipatnya separuh ke dalam supaya titisan daripada mulut dan hidung tidak terdedah.

3. Lipat pelitup itu lagi sehingga ia kelihatan seperti gulungan. Ia juga boleh dibalut dengan gelung telinga agar lipatan tidak terbuka.

4. Pelitup muka sepatutnya dibungkus dalam sehelai kertas tisu sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.


______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments