SIAPA yang mahu menolak sekiranya mendapat tawaran memasuki sekolah berasrama penuh?
Selepas berhempas pulas untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan, pastilah tawaran sedemikian sesuatu yang amat dinanti-nantikan.
Bahkan, tawaran ke sekolah berasrama penuh atau 'sekolah pandai' juga pastinya amat membanggakan kedua-dua ibu bapa.
Begitu juga dengan kisah yang dikongsikan oleh pelayar ini di Facebook.
Sungguhpun sudah hampir 12 tahun lamanya, namun kisah tersebut tersimpan rapi di dalam kotak ingatannya dan menjadi satu memori indah untuk dikenang sepanjang hayat.
Menurut pelayar yang hanya membahasakan diri sebagai Kakngah, adiknya yang bernama Ijat mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah berasrama penuh selepas mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2003.
Dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan, bilangan adik beradik yang ramai, ditambah pula dengan keadaan bapa yang terkena serangan angin ahmar, bagaimanapun menyukarkan hasrat untuk menghantar Ijat ke sekolah berasrama penuh.
Disebabkan kekangan kewangan, Ijat banyak mencari barangan di tapak pembuangan sampah untuk persediaannya ke asrama.
"Kehidupan keluarga kami pada awalnya tidaklah sesusah mana sekadar cukup-cukup sahaja. Yelah, ayah aku sorang je yang bekerja nak menyara lapan orang termasuk ibu.
"Dengan anak yang masih kecik-kecik, perit jugak lah ayah aku mengerah keringat beliau yang bekerja sebagai pembuat batu nisan. Hujung tahun 2003, waktu umur aku 14 tahun ayah tiba-tiba kena mild stroke.
"Hampir separuh badan ayah lemah especially tangan. Kiranya sumber pendapatan kami terhenti secara tiba-tiba. Dengan keadaan ayah yang perlukan rawatan yang agak mahal, duit saving ayah untuk anak-anak terpaksa kami gunakan.
"Nak dijadikan cerita, hujung tahun tu jugak Ijat dapat keputusan UPSR yang sangat membanggakan. Mana tak bangga Ijat sorang je dapat 5A dalam sekolah tu," tulis pelayar berkenaan.
Ceritanya lagi, mereka sekeluarga terlalu menginginkan Ijat untuk melanjutkan pengajian ke sekolah yang bagus namun dek kerana ujian yang melanda, mereka seakan-akan buntu.
Menurut pelayar itu juga, adik lelakinya seakan-akan faham dengan bebanan keluarga justeru apabila menerima surat tawaran ke sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor, dia tidak menunjukkan reaksi yang gembira.
"Yuran makan, yuran asrama, yuran kelab persatuan semua telah disenaraikan secara detail. Ibu dengan aku dah termenung. Ijat diam. Aku tahu Ijat teringin sangat-sangat nak pergi SBP, tapi dia tak berani nak cakap.
"Masa untuk mendaftar tak kurang dua minggu dari tarikh dapat surat tawaran, Ijat masih macam tu, senyap sepi. Ijat banyak habiskan masa bersendirian sampai kadang kadang aku pun tak tahu dia pergi mana. Tahu-tahu dah lesap," tulisnya.
Kakngah menangis apabila wang yuran untuk adiknya tidak mencukupi kerana ada beberapa bayaran yang perlu dilunaskan. Gambar hiasan
Sehinggalah pada suatu hari, wanita ini mengambil keputusan untuk mengintip perbuatan adiknya namun apa yang ditemui cukup mengejutkan dan membuatkannya merasa hiba sehingga mengalirkan air mata.
Rupa-rupanya, Ijat banyak menghabiskan masa di tapak pembuangan sampah umpama 'shopping mall' bagi mencari barang-barang kelengkapan yang 'masih elok' untuk di bawa ke asrama kelak.
Baldi retak, kasut yang terkoyak antara barangan yang dikutip Ijat dan semuanya disimpan rapi dalam stor rumah mereka. Dan apabila aktivitinya terbongkar, Ijat dengan selamba mengajak kakaknya ke 'shopping mall' kerana ada beg beroda yang sesuai untuk di bawa ke sekolah nanti.
Ternyata kesungguhan Ijat memberi semangat untuk sekeluarga hingga Kak Ngah mengambil keputusan memberitahu ibu mereka.
Tiba hari pendaftaran, pelayar ini yang ketika itu berusia 15 tahun menghantar adiknya ke sekolah berkenaan dan mereka sekali lagi diuji.
"Pendaftaran kami smooth je sebab kitorang bawak duit cukup la untuk bayar semua tu. Tapi sampai je koperasi, tetiba ada satu borang lagi nak kena isi dan bayar.
"Terbeliak mata aku, RM50 lagi koperasi mintak. Aku dah cuak. Duit aku pon cukup-cukup untuk naik bas balik rumah je ni. Aku pergi tandas, menangis. Sampailah ada seorang makcik ni tegur aku kenapa. Aku pon cerita la.
Pelajaran Ijat ditanggung sepenuhnya oleh pihak zakat sekolah sehingga dia menamatkan pengajian. Gambar hiasan.
"Terus dia bawak aku pergi jumpa pengetua sekolah, pengetua sekolah pulak bawak aku jumpa wartawan Utusan Malaysia yang kebetulan tengah ambik-ambik gambar pasal hari pendaftaran kat sekolah baru Ijat.
"Tak pasal-pasal aku dengan Ijat kena interview dengan wartawan. Tak sampai setengah jam, pengetua datang pulang balik duit yuran yang kami dah bayar. Dia cakap, semua yuran Ijat ditanggung oleh zakat sekolah mulai hari itu sampai tamat sekolah. Alhamdulillah. Menangis la aku dengan Ijat berpeluk-pelukan depan orang ramai," ceritanya.
Tambahnya, sejak berita mereka terpampang di akhbar juga, banyak pihak yang tampil menghulurkan bantuan.
"Dah 12 tahun kisah ni terjadi. Ijat pon dah nak dekat final year medic kat Ireland. Semoga Ijat dapat habiskan pengajian dia dengan cemerlang dan menjadi doktor yang ikhlas membantu pesakit kerana Allah.
"Kak Ngah sayang sangat kat Ijat. Aku nak ambik kesempatan ni nak ucap terima kasih kepada sesiapa yang pernah membantu Ijat dan kami sekeluarga sehingga Ijat mampu dan hampir capai impian dia nak jadi doktor," tulisnya lagi.
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments