KUALA TERENGGANU: Arkeologi dasar laut mampu dijadikan bidang kajian baharu untuk diterokai generasi muda yang berminat mengkaji cabang ilmu melibatkan pelbagai aplikasi bersifat marin dan akuatik.
Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Hasrizal Shaari berkata UMT bersedia mengambil inisiatif untuk menjadikan kawasan kapal karam sebagai antara lokasi pembelajaran dan latihan bagi bidang berkenaan.
"Latihan boleh disediakan bagi mereka yang berminat khususnya penggemar sukan selam skuba, bagi mempelajari dan merasai pengalaman aktiviti selaman arkeologi.
"Kami akan bekerjasama dengan rakan strategik lain seperti UZMA Archeological Research (UAR) Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Muzium Negeri Terengganu untuk tujuan itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurutnya terdapat lebih 10 bangkai kapal ditemui di perairan negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.
"Terdapat beberapa bangkai kapal karam yang terkenal seperti Turiang, Nanyang, Longquan, Nanhai Diraja, Xuande, Singtai, Wanli, Nassau, Risdam, Diana serta Desaru, dan menariknya tiga daripada kapal karam yang dijumpai iaitu Longquan, Singtai dan Wanli berada di perairan negeri ini," katanya.
Hasrizal yang juga pensyarah kanan bidang kajian Paleosekitaran dan Geokimia di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT berkata sudah tiba masanya satu langkah drastik dan proaktif diambil untuk memperkasa bidang penyelidikan arkeologi bawah air bagi meneroka lebih banyak sejarah antarabangsa pada zaman silam.
Katanya penemuan bangkai-bangkai kapal mendorong kepada usaha untuk merancang satu bentuk penyelidikan arkeologi bawah air khususnya di Terengganu secara lebih holistik, bagi memahami peranan dan fungsi perairan negeri ini sebagai laluan perdagangan penting pada masa lampau.
Beliau berkata kajian susulan juga perlu dilakukan segera selepas kejayaan proses eskavasi kapal karam The Bidong Shipwreck di perairan Pulau Bidong pada 2017.
Menurutnya kapal yang karam di kedalaman 18 meter itu boleh diterokai penyelam rekreasi, sekali gus memudahkan proses eskavasi dan menyelamatkan artifak seperti tembikar batu berkilat yang berasal dari Thailand pada abad ke 15 hingga 17 Masihi.
"Program eskavasi itu sangat membanggakan kerana telah menggunakan seratus peratus tenaga anak tempatan dan kita jangka keseluruhan seramik serta artifak yang berada di dasar perairan Pulau Bidong masih sangat banyak," katanya.
-- BERNAMA
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments