Header ADS

header ads

Wabak Demam Campak Melonjak 80 Peratus


GENEVA
– Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa penyakit demam campak meningkat 80 peratus di seluruh dunia tahun ini akibat gangguan disebabkan pandemik Covid-19, lapor laman berita Wionews.

Menurutnya, peningkatan jangkitan demam campak memberi petanda banyak penyakit lain yang mengancam kanak-kanak akan menyusul dalam masa terdekat.

Penularan Covid-19 telah mengganggu kempen vaksinasi penyakit bukan Covid-19 di seluruh dunia. Gangguan itu dibimbangi mencetuskan ‘ribut virus’ yang berisiko membahayakan nyawa berjuta-juta kanak-kanak.

Demam campak adalah penyakit bawaan virus yang membahayakan sistem kesihatan kanak-kanak. Antara simptom paling ketara termasuk cacat penglihatan, pembesaran saiz otak, cirit-birit dan jangkitan pernafasan akut.

Menurut data baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 17,300 kes demam campak dilaporkan di seluruh dunia pada Januari dan Februari lalu, berbanding sekitar 9,600 kes sepanjang tempoh sama tahun lepas.

Menurut data berkenaan, terdapat 21 wabak demam campak berskala besar dan membimbangkan dalam tempoh 12 bulan menjelang April tahun ini dengan majoriti berlaku di Benua Afrika dan rantau Mediterranean.

UNICEF turut meramalkan bahawa demam kuning akan menjadi salah satu penyakit seterusnya selepas penularan demam campak.

Menurut PBB, negara Somalia mempunyai jumlah jangkitan demam campak tertinggi tahun lalu dengan lebih 9,000 kes, diikuti Yemen, Afghanistan, Nigeria dan Etiopia.

Terdapat juga kebimbangan bahawa konflik di Ukraine akan mencetuskan semula wabak demam campak di negara berkenaan. Ukraine mempunyai kadar campak tertinggi di Eropah antara tahun 2017 hingga 2019.

Kosmo



______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments