IPOH: Kesukaran dihadapi keluarga yang terpaksa menunggang motosikal dari Ipoh ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk membawa anak mereka mendapatkan rawatan mendapat perhatian Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Baru-baru
ini, kisah Nur Natasya Rasid, 24, dan suaminya Muhammad Iqbal Ramli,
24, tular selepas menaiki motosikal ke hospital berkenaan dari sini
untuk membawa anaknya Nur Mardhiah Shahadah yang berusia tiga tahun
mendapatkan rawatan pelbagai penyakit kronik.
Isteri Menteri Besar, Datin Seri Nomee Ashikin Mohammed Radzi, yang berkunjung ke kediaman keluarga itu di Taman Meru, di sini semalam, berkata selain membantu menyediakan pengangkutan, beberapa bantuan lain akan diberikan kepada mereka.
"Menteri Besar telah memaklumkan akan menyediakan pengangkutan di mana sahaja rawatan dijalankan memandangkan adik Nur Mardhiah Shahadah perlu mendapatkan rawatan setiap dua minggu di HKL yang merupakan satu bebanan yang tinggi.
"Selain itu, kami juga akan bantu keluarga ini membayar sewa rumah mereka sekurang-kurangnya selama enam bulan dan saya akan cuba bantu untuk merujuk beberapa rawatan anak ini dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, namun ia bergantung kepada kebenaran dari HKL," katanya.
Beliau
berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat dan
menyampaikan sumbangan kepada keluarga Nur Natasya di Taman Meru di
sini.
Nur Mardhiah Shahadah yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik menderita pelbagai penyakit kronik termasuk kanser mata, penyakit genetik iaitu Chromosome 13q Deletion Syndrome, buah pinggang dan paru-paru.
Dalam pada itu, Nur Natasya amat bersyukur atas keprihatinan orang ramai termasuk Menteri Besar serta isteri yang menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarganya.
Jelas
Nur Natasya, kos saraan anaknya itu semakin bertambah menjadi sekitar
RM1,700 sebulan kerana perlu berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur
sejak berpindah ke bandar raya itu lima bulan lalu.
Katanya,
pendapatan suaminya sebagai buruh sekitar RM1,000 sememangnya tidak
mencukupi untuk menampung kos tersebut tetapi amat bersyukur atas
bantuan orang ramai kepada mereka.
-- BERNAMA
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments