Header ADS

header ads

Emak aku seorang penerokawati


Emak saya seorang penerokawati di kampung saya, Felda Chalok Terengganu. Pada tahun 1973 , dalam usia 31 tahun emak terpilih mewakili Felda Wilayah Terengganu berkursus di Pusat Latihan Felda di Felda Trolak, Perak bersama-sama seorang lagi wakil dari Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu. Bila saya tanya emak macam mana beliau boleh terpilih dalam ribuan isteri peneroka Wilayah Terengganu? Jawapan emak, "Tak tahulah." 😅

Nama kursus pun emak sudah lupa tapi kata emak, peserta diajar menjahit dan memasak. Agaknya kursus pengurusan rumah tangga la kot. Menurut emak peserta kursus tak ramai, lebih kurang 10 orang dan emak adalah peserta tertua. 😁

Mulanya emak tak mahu pergi sebab tak sanggup nak tinggalkan anak-anaknya seramai 4 orang. Yang kecil, adik saya baru berusia 3 tahun. Arwah ayah saya galakkan emak pergi, "Rugi kalau tak pergi menuntut ilmu." kata arwah ayah saya.

Dengan sokongan suami yang berbeza usia 20 tahun itu, emakpun pergilah berkursus. Bukan lama pun, 10 hari sahaja. Dalam masa yang singkat itu, emak sempat juga menulis surat kepada arwah ayah.

Dalam surat itu emak berpesan supaya menjaga anak-anak dengan baik. ( Saya pernah jumpa surat yang emak kirim itu. Bukan main seronok kami baca surat emak. Maklumlah guna bahasa surat kiriman adinda kekanda kan.)

Dalam perjalanan pulang dari Felda Trolak tersebut, land-rover Felda yang emak naiki telah dihanyutkan arus deras dalam banjir di jalan lama Karak. Mujurlah emak dan rakan-rakannya selamat.

Emak selalu mengulang cerita pengalaman banjir ini dari dulu sampai sekarang. Waktu itu, dalam situasi cemas hanya teringatkan suami dan anak-anak yang ditinggalkan di rumah.

Hasil kursus, emak boleh menjahit sendiri baju-baju kurung untuk kami adik-beradik. Baju sekolah pun emak jahit sendiri. Emak tak ambil upah jahit baju orang lain, hanya baju anak-anak sahaja.

Sekarang emak sudah berusia 78 tahun. Emak sudah tidak sekuat dulu. Banyak masa emak di atas kerusi roda kerana masalah tulang belakang dan lutut. Emakpun tinggal dengan anak-anak, bergilir-gilir. Semoga Allah sentiasa merahmati emak saya, Hajah Zuraidah Awang Kechik.
*Emak yang sedang menulis depan papan hitam tu.

______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments