Header ADS

header ads

Ibu berbeza agama sediakan kesari, payasam untuk juadah Aidilfitri


KANGAR:
Perbezaan agama tidak menghalang seorang ibu beragama Hindu, M. Vanitamani, 72, sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama anak, menantu dan cucu-cucunya yang beragama Islam setiap tahun.

Malah warga emas itu yang tinggal di Taman Kangar bersama seorang anak saudaranya sejak kematian suami empat tahun lalu, sering menjadikan kediamannya sebagai tempat mengadakan rumah terbuka Aidilfitri untuk ahli keluarga dan kenalan bagi memeriahkan sambutan lebaran.

Meskipun anak bongsunya, Affendi Rajini Kanth, 47, memeluk agama Islam dan berkahwin dengan isterinya, Norhudi’in Danu, 42, sejak 18 tahun lalu, hubungan erat antara ibu dan anak itu tidak pernah putus.

Lazimnya, ibu kepada tiga anak itu menyediakan juadah manisan masyarakat India iaitu kesari dan payasam pada setiap kali rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri selain juadah sinonim seperti ketupat dan rendang yang dimasak menantunya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Vanitamani berkata, perbezaan agama tidak menjadi penghalang untuk mereka bersama-sama menyambut Aidilfitri setiap tahun.

Katanya, menjadi kebiasaan, rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri diadakan di rumahnya yang mempunyai ruang lebih besar dan selesa.

“Di sini ahli keluarga serta rakan-rakan tanpa mengira bangsa dan agama berkumpul untuk menyambut Aidilfitri bersama.

“Saya juga menyediakan manisan seperti kesari diperbuat daripada tepung suji dan payasam yang juga manisan yang diperbuat daripada sagu, gajus dan susu.

“Selain itu, menu hari raya yang paling saya suka adalah rendang dan soto yang dimasak oleh menantu,” katanya.

Tambah Vanitamani, walaupun kudratnya sudah tidak seperti dahulu, dia cuba memasak menu kegemaran cucu bongsunya, Afeef Faeq Khan, 11, iaitu ‘tosei ghee’ sebagai menu berbuka puasa semasa bulan Ramadan.

Sementara itu, Norhudi’in berkata, ibu mentuanya pandai memasak dan juadah yang disediakannya sangat digemari ketiga-tiga anaknya berusia 18 hingga 11 tahun.

“Namun, kerana masalah kesihatan, kami tak bagi dia (ibu) buat kerja berat. Kalau dia mahu masak pun kami akan menyediakan semua bahan-bahan terlebih dahulu.

“Rumah kami tidak jauh daripada rumah ‘mama’, jadi setiap pagi saya ke sini untuk menemaninya melakukan ‘morning walk’ seperti yang dinasihatkan oleh doktor,” ujarnya. – UTUSAN



______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments