Biarpun tidak terbabit secara terus memberi sumbangan kepada peningkatan ekonomi global, tetapi peranan wanita tidak dapat disangkal bahkan seharusnya diberi pujian.
Penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun ini sekali lagi mengenegahkan fungsi wanita dalam sektor ekonomi.
APEC 2020 berfungsi sebagai pentas untuk mengukuhkan fokus Malaysia dalam menjayakan agenda wanita dan menjadi tanggungjawab bagi semua pihak termasuk kementerian, syarikat antarabangsa dan organisasi multi-nasional untuk memperkasakan kedudukan wanita sebagai penggerak ekonomi sama ada secara kecil-kecilan mahupun di peringkat global.
“APEC 2020 membuka ruang forum membolehkan perbincangan lebih komited berkenaan isu memperkasa ekonomi wanita di peringkat tempatan dan global.
Menerusi APEC, lebih ramai wanita diberi peluang menyertai sektor yang dulunya dimonopoli lelaki terutama aspek pembangunan ekonomi dan industri perniagaan.
Lebih 13 tahun bergelar wanita berkerjaya dan kini baru hampir 10 bulan menjadi pengurus rumah tangga sepenuh masa, kedua-duanya ada cabaran tersendiri.
Tidak dinafikan, sebagai individu terbiasa menyumbang kepada ekonomi keluarga, saya sentiasa mencari ruang untuk menjana pendapatan sendiri dengan menjual pelbagai item hobi dan sambal secara atas talian,” kata Intan Mas Ayu Shahimi, 36, yang bekerja sebagai seorang agen insurans mengenai APEC dan peranan wanita dalam memperkasakan ekonomi negara.
Secara amnya, wanita terkenal dengan ciri-ciri positif seperti kreativiti, ketekunan, ketabahan, ketekunan, daya tahan, kepintaran dan ketelitiannya. Bersandarkan kekuatan ini, wanita telah menunjukkan keupayaan mereka untuk meneruskan kehidupan dalam dunia tanpa sempadan dan yang semakin berdaya saing.
Selain Intan, Nur Sri Wahyuni Amri, 32, pekerja swasta turut menekankan kehadiran APEC kali ini wajar dijadikan ‘platform’ buat lebih ramai wanita untuk menjadi pembuat keputusan terutama dalam sektor sosio-ekonomi.
“Peranan wanita sebagai penggerak ekonomi dan pembuat keputusan tidak seharusnya dipandang enteng kerana mereka kini berdepan dengan konsep ‘dwi’ tanggungjawab apabila perlu menguruskan kerjaya dan keluarga.
Pengalaman saya sendiri sebagai ibu kepada dua anak yang masih kecil, saya perlu fokus dan berdisiplin kerana perlu membahagikan masa antara kerjaya dengan keluarga.
Di tempat kerja, saya memberikan fokus sepenuhnya terhadap kerja dan di rumah anak-anak memerlukan perhatian selain perlu membahagikan masa untuk merancang perniagaan dalam talian,”katanya.
Baginya, tiada istilah penat kerana bagi kecekapan pengurusan masa amat penting lebih lagi jika mahukan kejayaan.
Tegasnya, perkara ini jelas membuktikan wanita juga ‘multi-task’ dan kemampuan ini selayaknya diberi pujian dan peluang untuk menduduki tangga teratas dalam industri diceburi mereka.
Tidak ada sekelumit keraguan diatas keupayaan wanita yang boleh menjadi daya penggerak dinamik di sebalik ekonomi. Usahawan wanita khususnya memainkan peranan penting seperti yang dicerminkan menerusi penglibatan aktif mereka dalam pelbagai sektor industri seperti pertanian, pembuatan, perdagangan, pembinaan, pembangunan perumahan, logistik dan industri pelancongan yang berkembang pesat.
“Ketika negara dilanda pandemik, ia memberi kesan terhadap perniagaan tetapi perkara itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk putus asa sebaliknya anggap pandemik sebagai cabaran untuk memperbaiki diri.
Banyak kaedah perniagaan moden boleh dipelopori antaranya menerusi penggunaan digitalisasi membolehkan wanita bekerja secara fleksibel di rumah di samping dapat memberikan fokus kepada keperluan keluarga.
Pembabitan wanita dalam kehidupan sivik dan ekonomi sangat relevan hari ini lebih lagi bagi membantu bina semula ekonomi yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19,” tambah Rohana Rusdi, 41, seorang usahawanita yang turut mengakui kehadiran Malaysia sebagai tuan rumah APEC 2020 membuka ruang kerjasama dengan ramai wanita Malaysia serta melahirkan generasi wanita berfikiran di luar kotak dalam menyelesaikan masalah.
Peranan wanita bukanlah sekadar menjadi ibu dan isteri bahkan memberi impak yang besar kepada pembangunan sesebuah masyarakat atau negara.
Tiada lagi istilah wanita hanya di dapur malah golongan wanita pada masa kini ramai sudah dijadikan sumber inspirasi bukan sahaja kepada anak-anak, keluarga dan masyarakat malah kepada negara.
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments