PETALING JAYA: Hiba kehilangan orang tersayang, ditimpa pula kemusnahan kediaman dan kerosakan harta benda – hati wartawan FMT begitu meruntun ketika meninjau keadaan mangsa banjir di Lembah Klang.
Jiwa menjerit melihat tinggalan harta benda rakyat kebanyakan yang musnah, lebih-lebih lagi apabila memikirkan entah berapa tahun gaji disimpan dan pinjaman dibayar untuk memiliki sedikit kesenangan itu.
Di Batu 17, Hulu Langat, Mohd Shafik Jelani termenung melihat tapak kosong yang kelmarin berdirinya rumah yang dibina bersama isterinya – bata demi bata, papan demi papan sejak 10 tahun lalu.
Habis semua dibawa arus, tinggal batu tangga sahaja. “Saya tinggal sehelai sepinggang,” katanya kepada FMT.
Di Bandar Mahkota Cheras, hanya Tuhan sahaja tahu isi hati seorang usahawan, Daniel Po, yang sayu melihat barangan kedai perkakasnya punah ketika perniagaan sedang memulih daripada kesan pandemik Covid-19.
“Barang kedai semua hancur. Dokumen niaga dan kedai juga,” katanya ketika dihubungi FMT.
Di Sementa, Klang, Raman Muniandi sebak apabila ditemui FMT. Hampir semua barang rumahnya rosak dan terpaksa dibuang. Entah bagaimana masa depannya kerana Raman juga kurang upaya selepas mengalami strok separuh badan.
“Saya pening. Saya tak bekerja sebab sakit,” katanya.
Bagi Mohamad Azlan Zailani, bencana ini bukan sahaja membawa pergi hartanya, tetapi juga harapannya. Sudah banyak simpanannya digunakan semata-mata untuk bertahan sepanjang PKP.
“Sekarang baru nak pulihkan ekonomi, keluarga saya diuji dengan banjir pula,” katanya kepada FMT.
Bagi keluarga lain, bukan sahaja harta tetapi ahli keluarga tersayang turut terkorban dalam bencana ini. Setakat ini, di Selangor sahaja, sekurang-kurangnya tujuh kematian dilaporkan dan seorang masih hilang.
Semalam di Shah Alam, seorang warga emas meninggal dunia ketika terperangkap dalam banjir. Anaknya memberitahu Harian Metro, Esah Hussin, 71, selepas berjaya dipapah untuk berlindung di tingkat dua rumah, tiba-tiba sesak nafas dan diserang angin ahmar.
“Paramedik sudah sampai tetapi mereka tak boleh masuk kerana air terlalu tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk Seksyen 22 gempar apabila menemui mayat malam tadi ketika air surut, dipercayai mati lemas.
Di media sosial, gambar sekumpulan kucing yang mati dan berlumuran lumpur menyebabkan hiba hati mereka yang melihatnya.
Segala kesengsaraan, tak kira insan atau peliharaan mereka, kini menjadi satu lagi detik hitam dalam sejarah negara.
Tidak ada jawapan yang boleh menjadi penawar kepada penderitaan mereka. Tiada ubat untuk merawat luka di jiwa memikirkan masa depan yang penuh persoalan.
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments