SYDNEY: Lebih daripada 60,000 beruang koala terbunuh, cedera atau hilang habitat akibat bencana kebakaran hutan di Australia pada musim panas lalu, anggar Tabung Alam Sedunia (WWF).
Reuters melaporkan, organisasi tersebut menzahirkan rasa bimbang memandangkan spesies itu sudahpun selama ini berdepan pelbagai ancaman.
Kebakaran pada musim panas lalu, yang digelar oleh Perdana Menteri Scott Morrison sebagai ‘musim panas hitam’, juga mengorbankan 33 orang dan memusnahkan 24 juta hektar kawasan tanaman, petempatan dan hutan.
Hampir 3 bilion haiwan tempatan dari pelbagai spesies turut menjadi korban.
Walaupun tanpa bencana api itu, habitat koala sudahpun selama ini merosot teruk akibat aktiviti pertanian, pembangunan bandar, perlombongan dan penerokaan hutan.
Pakar kajian koala pada tahun 2016 menganggarkan populasi haiwan itu di Australia adalah sejumlah 329,000 ekor, namun kebakaran hutan setiap tahun semakin mengecilkan jumlah itu.
"Angka 60,000 itu sangat memilukan bagi spesies yang sudahpun terancam di timur Australia. Kita tidak mampu kehilangan koala dalam pemerhatian kami,” ujar Ketua Eksekutif WWF-Australia Dermot O'Gorman dalam satu laporan.
Kangaroo Island di Australia Selatan adalah kawasan habitat koala yang paling teruk dimusnahkan kebakaran, dengan kira-kira 40,000 koala terkesan. Sejumlah 11,000 ekor lagi di Victoria dan 8,000 di New South Wales (NSW) turut menerima nasib serupa.
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments