KUALA LUMPUR: Sejak dilahirkan, kehidupan Anak Tidak Sah Taraf (ATST) sering mendapat perhatian kerana situasi yang dihadapi mereka tidak seperti anak-anak yang lain.
Meskipun ketika kelahiran dan
seterusnya zaman kanak-kanak masih ada insan yang sedia membantu, nasib
atau masa depan mereka masih tidak menentu apabila memasuki alam dewasa.
Persoalannya, sampai bila ATST ini perlu melalui kehidupan merumitkan?
Melalui tinjauan Astro AWANI baru-baru ini di sebuah rumah perlindungan di Ampang, Selangor, terdapat sekitar 50 anak-anak tidak sah taraf yang belum diketahui masa depannya menumpang kasih di situ.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nur Hati, Mohamad Zaid Mohamad Shah, bagi memastikan nasib anak-anak tidak berdosa itu terbela, pihaknya menerima kehadiran ibu hamil tanpa nikah yang meminta sokongan dan bantuan.
“Di sini kami ada pengkalan data, kami buat kaji selidik, setiap individu yang datang, kami tanya dari mana, macam mana boleh terjadi.
"Dari situ kami tahu apa yang berlaku. Kami perlu tahu, supaya untuk pengumpulan maklumat untuk kami membantu urusan yang lain,” ujarnya.
Tegas Zaid, langkah itu juga bagi memastikan anak-anak tersebut dapat menerima kasih sayang sewajarnya.
Zaid dalam masa sama bimbang kes-kes pembuangan bayi terus meningkat disebabkan tindakan tidak masuk akal ibu bayi terlibat selepas buntu untuk membuat keputusan.
“Kami percaya peluang kedua itu wujud. Bagaimana kami membantu mereka adalah dengan mengadakan usrah, kami terangkan kepada mereka (ibu-ibu hamil) apa peluang yang mereka ada.
"Jadi mereka
harus bangkit kembali dengan nilai kehidupan yang baharu, lonjakkan diri
dengan kerjaya. Kebanyakan mereka sudah putus harapan,” tambahnya lagi.
Namun, apa yang menjadi perhatiannya adalah nasib yang bakal ditempuhi anak-anak tersebut apabila mereka semakin membesar kelak.
“Harapan saya memang saya nak selesaikan masalah anak-anak ini, bagi kehidupan mereka setara yang lain, sebab itu yang pertama saya niat kalaulah tak dapat guna staus tak sah taraf itu, mungkin lebih baik, sebab dulu saya ada anak yang membesar, orang panggil dia anak luar nikah. Itu satu panggilan yang berat.
"Kemudian dokumen tak sah taraf itu pun sebenarnya berat juga... mungkin ada perkataan yang lebih baik untuk mereka, sebab mereka ini sudah ada branding, kadang-kadang tu ada yang tanya "Pa kenapa bin lain..." jadi lebih kepada tidak sah taraf, itu isunya... branding yang dia (anak tak sah taraf) bawa,” katanya dalam nada sebak.
Sehubungan itu, Zaid berkata, pihaknya akan meneruskan perjuangan mendapatkan dokumen dan memenuhi keperluan yang dituntut agar anak-anak tersebut dipandang setaraf seperti yang lain.
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments