Header ADS

header ads

Perempuan Baju Merah


Sial! Sial! Sial! Rokiman menjerit. Perkataan sial diulang sebanyak lapan belas kali. Rokiman mengamuk marahkan gitar. Dihempas gitarnya ke lantai. Bergegar seisi rumah.

"Aku tekan kod A, pasal apa bila petik bunyi kod C pulak! Sial!" Marah Rokiman.

Risau juga Puan Siti Maryam, panas baran Rokiman bukan boleh diramal, buatnya dibakar rumah ni karang, mana nak duduk nanti. Tapi sayang pula rasanya mahu meninggalkan drama yang sedang menayangkan adegan seorang anak Tan Sri sedang mengisi borang bantuan membeli bekas pensil. Puan Siti Maryam tekan butang pause dan pergi memujuk Rokiman.

"Sabar, Roki. Sabar itukan separuh daripada iman. Iman pula tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa, ia tak dapat dijual beli dan ia tiada di tepian pantai." Nasihat Puan Siti Maryam.

"Carilah cinta, Roki. Mungkin cinta akan buat kamu berubah," tambah Puan Siti Maryam lagi.

Cinta? Dahi Rokiman berkerut. Ini kali pertama dia mendengar perkataan cinta. Otaknya mula bekerja, mula menterjemahkan perkataan cinta. Tapi, cuma adegan bercium mulut yang terbayang di matanya.

"Cinta? Cinta tu apa dan bagaimana, mak?" soal Rokiman.

"Cinta ini satu rasa yang dapat menundukkan amukan gelora jiwa yang menagih kasih, yang halus, yang kudus, yang tulus dan yang mulus," balas Puan Siti Maryam.

Amarah Rokiman mula menjalar di setiap pembuluh darahnya. Dia tahu, dia kenal benar dengan definisi cinta yang diterangkan oleh emaknya. Dia juga tahu itu lirik lagu Jamal Abdillah berduet dengan M. Nasir.

Bangang! Bangang! Bangang! Drama bangang buat cerita bangang, petang-petang waktu maghrib pulak tu. Rokiman mengamuk dalam hati. Walaupun dia seorang panas baran yang tak patut, namun dia tidak akan sesekali memarahi dan buat emaknya menangis.

-----

Pinnn!!! Rokiman menoleh ke arah jalanraya, kelihatan seorang perempuan berbaju warna merah, memegang sebuah beg pakaian, dan payung di tengah-tengah jalanraya.

Perempuan itu panik. Dari arah bertentangannya kelihatan lori pasir yang membawa muatan penuh hilang kawalan. Seperti lembu gila orang Sepanyol keadaan lori tersebut. Perempuan berbaju merah kaku. Seperti dia redha takdirnya mati dilanggar lori gila. Perempuan berbaju merah pejam mata.

Zap! Zap! Zap! Seperti pantasnya matador mengelak tandukan lembu gila, sepantas itu juga Rokiman melompat dan menarik perempuan berbaju merah ke tepi jalan.

Perempuan berbaju merah membuka mata. Merenung Rokiman, kemudian ulas bibirnya yang merah bak delima menguntumkan senyuman. Dada Rokiman berombak, matanya lekat ke wajah perempuan yang masih lagi dalam dakapannya itu.

Kenderaan bergerak laju, bumi juga berputar laju, siang dan malam bertukar begitu pantas. Perempuan berbaju merah masih tersenyum, Rokiman masih merenung wajahnya dalam kepantasan bumi berputar. Bunga berwarna-warni gugur dari langit, salji turun berbentuk love, beberapa ekor penguin kelihatan berkejaran sambil meniup buih sabun ke arah Rokiman dan perempuan berbaju merah. Mungkin inilah yang dikatakan orang syurga cinta!

Cium! Cium! Cium!

Bergema jeritan menyuruh Rokiman mencium perempuan berbaju merah, sebagai tanda kemenangan buat Rokiman yang telah menyelamatkan nyawa perempuan berbaju merah.

-----

Rokiman tersenyum, geli benar hatinya bila baca tajuk drama "Suamiku Jual Ganja". Terkekeh-kekeh Rokiman ketawa.

Puan Siti Maryam tersenyum simpul melihat Rokiman telah berubah. Dia bersyukur ke hadrat Ilahi. Cinta benar-benar telah mengubah Rokiman. Dia tahu, keputusannya menyuruh Rokiman mencari cinta, adalah yang terbaik.

Cinta, makin lama dilamun cinta makin hanyut, hanyut di lautan yang tidak berketepian, sesekali disegarkan ombak yang mendatang.

-----

Cium! Cium! Cium!

Orang ramai menjerit ke arah Rokiman, Rokiman jadi panasaran. Perempuan berbaju merah dalam dakapan Rokiman memejamkan mata dan memuncungkan sedikit bibirnya, tanda bersedia dikucup oleh Rokiman bila-bila masa sahaja. Bukan senang nak dapat peluang cium perempuan di khalayak ramai begini, cantik pulak tu. Rokiman bersedia untuk memberikan satu ciuman mulut.

Dia merenung wajah perempuan berbaju merah supaya feel akan jadi lebih tinggi. Sebaik sahaja bibirnya ingin menyentuh bibir perempuan berbaju merah.

Mata Rokiman jadi bulat.

Rokiman lepaskan perempuan berbaju merah dari dakapannya. Perempuan berbaju merah jatuh terlentang. Rokiman pula berlari dan menangis. Tangisan yang buat dia berubah.

Rokiman menjerit, tak pernah terdetik dalam hatinya selama ini. Teruna yang dia pertahankan hampir diragut oleh perempuan cantik berbaju merah ada halkum.

@abangrambo


______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments