Header ADS

header ads

Kejutan Proton X50 buat ayah


KUALA TERENGGANU -
Tidak dapat digambarkan perasaan seorang bapa apabila mendapat tahu lapan anaknya sepakat menghadiahkan Proton X50 bagi menggantikan kereta terpakai yang digunakan sejak sembilan tahun lalu.

Ahmad Fakhrurazi Mohamad, 30, berkata, ibu dan bapanya tidak pernah membeli kereta baharu sepanjang 64 tahun hidup dan hanya mampu membeli kereta terpakai disebabkan mahu berjimat demi menyara mereka lapan beradik.

“Kereta pertama abah model Toyota Corolla, jual...beli Proton Saga, jual... beli Proton Wira, jual...sekarang pakai Proton Pesona iaitu kereta yang abang dah pakai. Semuanya kereta terpakai.

“Sebenarnya kereta impian abah sejak dulu ialah Toyota Camry. Kami sempat bawa dia 'test drive' seminggu sebelum kami 'submit loan' untuk Proton X50,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Bapa Ahmad Fakhrurazi, Mohamad Ismail, 64, mencuba model kenderaan jenis Proton X50 ketika dibawa ke pusat pengedaran kenderaan di Kuala Terengganu, bulan lalu. Foto: Facebook Fakhrurazi Mohamad

Katanya, ibu dan bapa mereka juga telah dibawa untuk untuk memilih model Proton X50 termasuk warna yang digemari di sebuah pusat jualan kereta di Kampung Durian Burung di sini bulan lalu.

“Kami semua telah bekerja, mempunyai keluarga dan mampu membeli kereta baharu untuk keluarga kami sendiri sehingga terlupa mak abah masih dengan kereta Pesona pemberian abang yang sudah 10 kali keluar masuk bengkel.

“Kami semua mohon jutaan kemaafan daripada abah dan mak dan kami semua sepakat untuk hadiahkan abah dan mak kereta kebanggaan Malaysia, Proton X50 Executive,” katanya.

Ahmad Fakhrurazi berkata, pada mulanya bapanya tidak setuju kerana harganya mahal dan bimbang bayaran bulanan yang perlu ditanggung oleh anak-anak.

“Mulanya, abah memang risau sebab dia tak mahu membebankan kami. Tetapi kami berjaya yakinkan dia supaya tidak risau kerana bayaran bulanan dan sebarang servis kami akan tanggung sehinggalah ia habis dibayar (sembilan tahun).

“Syukurlah pinjaman pun sudah lulus dan kini hanya tunggu dua hingga tiga bulan sahaja lagi untuk beri kejutan kepada mereka.

“Semoga dengan sedikit hadiah daripada kami ia bermanfaat buat abah dan mak. Jasa abah dan mak membesarkan kami lapan beradik selama ini tak mampu dibayar dengan wang ringgit,” katanya.

Kereta Proton X50 Executive warna jet grey yang bakal dihadiahkan oleh Ahmad Fakhrurazi bersama tujuh lagi adik beradiknya yang lain kepada kedua ibu bapa mereka. Foto: Facebook Fakhrurazi Mohamad

Ahmad Fakhrurazi turut berkongsi cerita gembira itu menerusi status yang dimuat naik di dalam grup Facebook Proton X50 Community Malaysia (PX50CM) semalam.

Sehingga kini, status yang dimuat naik Ahmad Fakhrurazi itu mendapat 3,400 tanda suka, 273 komentar dan 108 perkongsian.

Seorang pengguna media sosial, Tg Imran Syah berkata, walaupun usaha murni yang dilakukan itu masih belum mampu membalas jasa kedua ibu bapa membesarkan sejak kecil, ia sudah tentu memberikan kegembiraan kepada mereka berdua.

“Syukur kerana masih ada anak-anak yang berhati mulia terhadap orang tuanya. Walaupun apa yang kita berikan itu bukanlah permintaan mereka, kesepakatan anda adik beradik itu menyentuh hati kami.

“Walaupun pemberian itu tidak dapat membalas jasa mereka pada kita, saya pasti anda berasa sangat bahagia. Sejuta tahniah daripada kami warga maya,” katanya.


______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments