Kubang Pasu: Walaupun uzur dan tidak kuat untuk berjalan namun seorang bapa berusia 87 tahun membuktikan kasihnya tiada batas apabila sanggup hadir di majlis persaraan anaknya yang bertugas sebagai pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu.
Noor Laily Md Salleh, 60, seorang Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC) di PPD berkenaan, berkata dia tidak menyangka bapanya Md Salleh Hashim, sanggup berjalan perlahan-lahan masuk ke dewan yang ketika itu sedang berlangsung majlis persaraannya kelmarin.
"Saya sudah dimaklumkan bapa akan hadir namun tidak sangka dia sanggup berjalan masuk ke dewan biarpun kakinya bengkak dan sakit.
"Berlinang air mata saya apabila melihat dia berjalan masuk ke dewan, setelah beberapa langkah, seorang rakan berjaya memujuknya menaiki kerusi roda, ia menyebabkan suasana dewan bertukar menjadi hiba dengan tindak balas spontan saya berjalan sambil menangis pergi kepada bapa saya," katanya.
Bercerita lanjut, Noor Laily, berkata bapanya seorang pesara guru besar di sebuah sekolah, bersemangat datang ke majlis persaraannya selepas beberapa kali terlepas untuk menghadiri majlis graduasinya ketika belajar di maktab termasuk di United Kingdom (UK) sebelum ini.
Anak ketiga daripada enam beradik ini menjangkakan bapanya itu hanya menunggunya di pejabat untuk melihat beliau mengetik kad perakam waktu keluar hari terakhirnya di PPD.
"Saya antara anak paling rapat dengan bapa. Sewaktu remaja dulu saya berkelakuan ala budak lelaki, ke mana bapa pergi saya akan ikut, kemudian dia yang menggalakkan saya menjadi guru dan sanggup membawa saya pergi mengambil borang untuk menyambung belajar di maktab dan seterusnya di UK.
"Dia banyak berkorban untuk saya malah hari ini dia sanggup menahan sakit dan berjalan sedangkan di rumah dia tidak mampu berjalan seperti itu, betapa kuat semangat bapa saya untuk melihat hari terakhir saya di pejabat," katanya yang pernah berkhidmat sebagai guru.
Noor Laily menamatkan perkhidmatannya selepas bertugas selama 38 tahun di beberapa Sekolah antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Pedu, SK Megat Dewa, SK Jitra, SMK Megat Dewa dan SMK Pulau Nyior sebelum ditukarkan ke PPD Kubang Pasu.
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments