Header ADS

header ads

Beri dana bantu wanita luar bandar dapat internet, kata kumpulan Sabah


PETALING JAYA:
Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (Sawo) menggesa Putrajaya memperuntukkan dana belanjawan untuk kemudahan dan perkhidmatan teknologi lebih baik bagi membantu wanita dalam masyarakat luar bandar di Sabah.

Presidennya, Winnie Yee berkata, penting untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar di negeri itu, terutama semasa krisis Covid-19. Sabah kini mencatatkan jumlah kes tertinggi Covid-19 di seluruh negara.

“Kawasan luar bandar Sabah, ketika Covid-19, terputus daripada bekalan perkhidmatan arus perdana kerana jurang digital. Sebilangan besar daripada mereka di kampung pedalaman tidak dapat dihubungi, walaupun melalui telefon.

“Ini adalah norma baru untuk masa depan dapat dijangka, jadi kita perlu melabur dalam prasarana – bukan hanya untuk jalan raya, tetapi juga teknologi.

“Isu ini sudah dikemukakan sebelum ini kerana wanita dan kanak-kanak di luar bandar tidak dapat mengakses maklumat penting,” katanya kepada FMT.

Yee juga merujuk kes pelajar Sabah, Veveonah Mosibin, yang mendapat perhatian umum selepas satu video menunjukkan beliau memanjat pokok untuk mendapatkan akses internet lebih baik untuk menduduki peperiksaan dalam talian universitinya.

Beliau turut menyentuh keperluan memiliki akses lebih baik kepada agensi kerajaan kerana hanya terdapat satu unit jenayah seksual D11, berpusat di Ibu Pejabat Polis Kepayan di Kota Kinabalu, untuk mengawasi seluruh negeri itu yang mempunyai 3.5 juta penduduk.

Katanya, Sabah tidak mempunyai Jabatan Pembangunan Wanita sendiri berbanding setiap negeri di Semenanjung.

“Sebab jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Sabah kerana kemudahan kita tidak cukup meluas; ramai yang diabaikan. Agensi kerajaan melakukan yang terbaik dengan sumber terhad, tetapi mereka tetap berusaha habis-habisan.”

Sementara itu, Persatuan Tindakan Semua Wanita (Awam) menggesa kerajaan menyediakan dana dalam Belanjawan 2021 untuk latihan buat polis yang dapat mengurangkan isu silap menguruskan kes sensitif dan menggalakkan lebih ramai mangsa gangguan seksual membuat laporan.

“Dana juga perlu diperuntukkan untuk menambah jumlah pegawai D11 di setiap daerah,” kata Pengurus Program dan Operasi Awam, Nisha Sabanayagam.

“Kita memerlukan seluruh jabatan itu dilengkapi teknologi dan pegawai sesuai untuk menangani kes penderaan kanak-kanak dalam talian, pornografi, keganasan siber berdasarkan jantina dan buli siber.”

Sebuah tribunal perlu dibentuk untuk kes gangguan seksual bagi membolehkan proses lebih berkesan dan cekap ketika menangani aduan gangguan seksual.

Pegawai penyelidikan dan advokasi kanan Pertubuhan Pertolongan Wanita, Yap Lay Sheng berkata, ketika sumber awam dialihkan untuk memerangi pandemik, Putrajaya perlu memastikan akses penjagaan kesihatan kepada penduduk terjejas tidak terganggu.

“Kerajaan perlu memperuntukkan dana untuk mengukuhkan kapasiti tempat tinggal dan memastikan kita lebih bersedia untuk membanteras keganasan berdasarkan jantina, yang didapati meningkat ketika krisis nasional, kemerosotan ekonomi dan bencana alam.”

Katanya, WAO menyaksikan sebilangan besar wanita meninggalkan pekerjaan untuk menjaga keluarga mereka ketika sekatan pergerakan dilaksanakan, dan mereka patut dibenarkan bekerja semula tanpa kerumitan bagi mengelakkan jurang gaji jantina bertambah teruk.

Nellie Tan, ketua eksekutif Institut Pengurusan Wanita, berharap Belanjawan 2021 akan memberi lebih banyak peluang kepada wanita memegang jawatan kanan di jabatan kerajaan, serta menyediakan kemudahan penjagaan anak yang sesuai di tempat kerja.


______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments