London: Gara-gara tersilap menempah patung inflatable (boleh kembung) watak filem The Grinch, rumah seorang ahli perniagaan di Durham, timur laut England dikerumuni lebih 5,000 pelawat asing.
Ray Liddell, 49, menempah barang berkenaan untuk perhiasan sempena sambutan Kristmas bagi memberi kejutan kepada anak perempuannya, Jasmine.
Bagaimanapun, lelaki itu tidak perasan saiz Grinch itu semasa membuat tempahan dalam talian rupanya bersaiz hampir menyamai ketinggian rumahnya.
Akibatnya, hampir 5,000 orang datang ke rumahnya di Hartlepool setiap hari bagi melihat dan merakam gambar bersama Grinch.
Bapa dua anak itu berkata, ia menunjukkan satu gambaran positif.
"Mereka datang pada pagi Ahad. Saya pastikan setiap orang mengamalkan penjarakan fizikal.
"Saya tak sangka lebih 5,000 orang datang melawat sedangkan pada mulanya saya cuma tempah Grinch kerana anak saya sukakannya," katanya dalam portal Metro UK.
Katanya, dia juga menggunakan peluang itu mengajak orang orang ramai menderma untuk projek badan amal dan setakat ini berjaya mengumpul lebih 8,000 Pound Sterling (RM43,733).
Wang itu akan disalurkan kepada Alice House Hospice, yang memberikan khidmat penjagaan kepada pesakit termasuk bapanya, Frank yang maut akibat Covid-19 Mei lalu.
"Saya selalu mahu buat sesuatu untuk pusat itu tetapi tidak pernah sangka dapat berbakti dengan cara ini melalui bantuan orang asing yang tak pernah saya kenali.
"Ada hikmahnya semua ini terjadi, saya dapat gembirakan anak dan orang ramai serta pada masa sama dapat mengumpul dana ini," katanya.
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments