Kuala Lumpur: "Ya, saya sendiri yang sarungkan cincin di jari manis bakal ibu baru saya," kata Norashikin Abdul Aziz, 32, yang menjadi wakil keluarga dalam majlis pertunangan ayahnya, Abdul Aziz Limon, 65.
Norashikin memberi reaksi itu ketika ditanya mengenai satu rakaman video yang dimuat naik di aplikasi TikTok miliknya.
Perkongsiannya itu berjaya meraih lebih 50,000 tontonan.
Menurutnya, diia sendiri menjadi wakil meminang pilihan hati ayahnya iaitu Asnah Abrori, 57.
Dia yang juga seorang jurusolek berkata, majlis pada 17 Oktober lalu di Johor Bahru itu juga adalah pertemuan kali pertama dia dan keluarga bakal ibu barunya.
"Sudah lama sebenarnya pihak keluarga perempuan mahu berjumpa tetapi saya agak sibuk dengan urusan tempahan pengantin.
"Selepas berbincang, saya pilih tarikh 17 Oktober lalu untuk berjumpa dengan pilihan hati ayah sekali gus mencadangkan membuat majlis pertunangan secara kecil-kecilan," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, di majlis pertunangan itu kedua-dua belah pihak keluarga bersetuju memilih tarikh pernikahan pada 12 Disember ini dan berharap ia dipermudahkan.
Katanya, rombongan meminang penuh sederhana itu dihadiri lima orang termasuk suaminya, dua orang rakan baik dan ayahnya.
Norashikin yang juga berasal dari Johor Bharu berkata, dia bersetuju dengan perkahwinan kedua ayahnya itu demi membahagiakannya yang sudah lebih dua tahun menduda.
"Arwah ibu meninggal dunia pada 2018 dan hanya tinggal abang tiri dan saya iaitu anak kandung tunggal ayah.
"Saya pula sudah tidak lagi tinggal serumah dengan ayah kerana mengikut suami. Disebabkan itu, saya bersetuju dan gembira sebenarnya ayah ada peneman di rumah, tidak lagi keseorangan.
"Saya juga belum ada zuriat dan keluarga tidaklah besar mana. Jika keluarga ini dapat bersatu, pasti lebih meriah kerana bakal ibu saya mempunyai 11 orang anak," katanya.
Berkongsi mengenai pertemuan ayahnya dan bakal isterinya itu, Norashikin berkata, mereka berkenalan menerusi Facebook (FB) sebelum berjumpa dan mengenali hati budi masing-masing.
"Tahun ini, baru ayah beritahu yang dia ada berkenan dengan seorang wanita yang dikenalinya di FB.
"Anak mana yang tidak terkejut apabila ada seseorang yang mahu menggantikan tempat arwah ibunya. Ssemua itu saya ketepikan demi melihat kehidupan ayah lebih sempurna," katanya.
Bercerita lanjut, Norashikin berkata, dia tidak menyangka video itu tular di media sosial dan berharap orang ramai mendoakan kebahagiaan keluarganya.
"Akaun TikTok peribadi saya itu lebih banyak digunakan untuk memuat naik video hasil ukiran inai tangan pelanggan.
"Video pertunangan ayah itu dimuat naik lima hari lalu dan hanyalah sekadar untuk berkongsi. Tidak sangka pula perkongsian itu tular," katanya.
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments