AIDILFITRI perlu disambut dengan tertib agar kemuliaannya tidak tercemar.
Amal ibadat yang dilaksanakan sepanjang Ramadan, mendidik jiwa untuk
terus istiqomah dalam mendambakan keredaan dan keampunan Allah SWT.
Imam Tua Masjid Al-Abrar, Pauh Sembilan, Bachok, Ustaz Mohd. Yuzakky
Mohd. Yusof berkata, umat Islam harus menghindari perilaku yang tidak
dianjurkan agama ini ketika merayakan hari lebaran ini.
Menurutnya, tujuh amalan sunah yang digalakkan sempena sambutan hari
raya seharusnya diamalkan untuk mendapatkan ganjaran pahala.
“Mandi sunat hari raya (dengan niat) sebelum keluar menunaikan solat
Aidilfitri untuk memberi kesegaran, semangat dan kesyukuran selepas
sebulan berpuasa kerana Allah SWT.
“Ulama besar Tabien Said Bin Jubair pernah berkata, perkara sunah di
hari raya antaranya adalah mandi sunat sebelum keluar ke masjid untuk
mendirikan solat sunat hari raya,” katanya kepada Mingguan Malaysia
baru-baru ini.
Menurut Mohd. Yuzakky, umat Islam juga digalakkan menjamah sedikit makanan sebelum ke masjid atau surau.
Ini, katanya, bersandarkan kepada sebuah hadis dari Anas Bin Malik yang
diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang menyebut: Rasulullah SAW tidak
keluar di pagi hari raya Aidilfitri sehinggalah baginda menjamah
beberapa biji kurma.
“Umat Islam juga seharusnya mengambil peluang untuk bertasbih dengan
mengutamakan takbir hari raya bukannya sibuk dengan persiapan lain.
“Kalimah takbir ini dibenci syaitan yang telah dilepaskan ikatan dan
rantaian sepanjang Ramadan sekali gus menjauhkan sebarang godaan
kemaksiatan,” ujarnya.
Tambahnya, Ad-Dar Qutni menyatakan apabila Ibn Umar RA keluar di pagi
hari raya Aidilfitri, dia akan berterusan bertakbir sehinggalah imam
keluar untuk mengimamkan solat sunat hari raya.
Selain itu, katanya mengucap selamat hari raya, salam sejahtera dan
mendoakan antara satu sama lain juga perlu dalam mengukuhkan ukhuwah dan
persaudaran Islam.
Pada zaman Rasulullah SAW, katanya, kalimah Taqabbalallahu minna wa
minkum yang bermaksud, semoga Allah SWT menerima amalan (amalan dan
ibadat di Ramadan) kami dan kamu sebagai satu pengucapan dan doa bila
bertemu seseorang di pagi hari raya.
Menurutnya, disebut dalam sebuah riwayat bahawa Wathilah pernah berkata:
“Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan pada baginda
“taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu
minna wa minka” ( Al-Baihaqi di dalam Fath Al-Bari, 2/446 )
“Lain-lain amalan adalah memakai pakaian baharu tidak semestinya mahal yang penting menutup aurat.
“Menukar laluan pergi dan balik dari masjid bersandarkan sebuah hadis
dari Jabir RA yang menyebut Rasulullah SAW biasanya menukar atau berbeza
laluan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari),”
ujarnya.
Mohd. Yuzakky berkata, peluang ziarah menziarahi sanak saudara dan jiran
tetangga juga perlu untuk kembalikan semula adab berhari raya yang
sebelum ini dikekang oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Barangsiapa yang suka untuk
diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya,
maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.”(
Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments