KUALA LUMPUR: Status janda bukan lagi stigma dan tidak mewujudkan persepsi negatif dalam masyarakat dilihat turut menyumbang kepada kelonggaran dalam institusi kekeluargaan hari ini.
Setiausaha
Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr Firdaus Abdul Gani berkata
peredaran zaman serta peranan wanita yang kian penting dalam menyumbang
kepada ekonomi keluarga turut mempengaruhi cara melihat institusi
kekeluargaan itu sendiri.
"Generasi terdahulu masyarakat Asia pada umumnya menganggap perceraian sebagai satu perkara yang negatif.
"Ini menyebabkan mereka sedaya upaya cuba memelihara institusi perkahwinan itu daripada terlerai.
"Perkataan janda itu sendiri dahulunya satu label yang dipandang serong oleh masyarakat.
Bagaimanapun, pada masa kini, stigma ini hampir tidak lagi wujud dan dianggap sebagai perkara biasa.
"Wanita kini lebih berpendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya yang tersendiri. Ini menyebabkan mereka lebih berdikari dan berasakan mereka tidak perlu lagi meneruskan perkahwinan yang tidak bahagia.
"Ekspektasi terhadap pasangan yang tidak realistik. Contohnya suami yang masih mengharapkan isteri yang bekerja untuk menguruskan rumah dan anak sepenuhnya dengan sempurna.
"Daripada pihak isteri pula, ada isteri yang mengharapkan suami untuk menguruskan segala urusan kewangan walaupun isteri juga bekerja.
"Perlu diingatkan bahawa institusi kekeluargaan merupakan satu komitmen berpanjangan oleh kedua belah pihak," katanya semasa dihubungi, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu jelas Dr Firdaus, ada juga kes pengabaian tanggungjawab serta nafkah oleh suami disebabkan oleh anggapan bahawa isteri mempunyai sumber pendapatan sendiri.
Tegasnya, sikap egosentrik iaitu mementingkan diri sendiri dalam kalangan pasangan di mana mereka lebih mengutamakan apa yang mereka peroleh dalam perkahwinan berbanding kepada apa yang dapat mereka sumbangkan dalam perkahwinan tersebut juga faktor menjejaskan institusi keluarga.
"Dunia yang semakin kompetitif juga menyebabkan sikap untuk berlumba-lumba dalam mengejar kerjaya juga boleh berlaku di kalangan pasangan di mana ada pasangan yang merasa cemburu apabila pasangannya lebih berjaya berbanding dirinya.
"Pada masa dahulu, situasi ini tidak berlaku kerana peranan wanita secara tradisinya sebagai suri rumah.
"Jadi kalau kita lihat peredaran zaman serta peranan wanita pada masa kita menyumbang kepada ekonomi keluarga, mempengaruhi cara kita melihat institusi kekeluargaan itu sendiri serta menyebabkan berlakunya persepsi perubahan daripada persepsi kepada institusi kekeluargaan itu sendiri," jelasnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin sebelum ini mendedahkan bilangan perceraian meningkat 12 peratus daripada 50,862 pada 2018 kepada 56,975 pada 2019.
Sementara bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2019 ialah 203,821, menurun 1.2 peratus daripada 206,352 pada 2018.
Sementara itu, budayawan, Prof Madya Dr Lim Swee Tin menjelaskan sudah tiba masa semua pihak memikirkan pengurusan konflik rumah tangga yang lebih mantap kepada masyarakat.
Ia termasuk konteks kejiranan dan teladan orang dewasa dalam pengurusan konflik rumah tangga yang lebih mantap kepada masyarakat.
"Kalau kita lihat apa yang berlaku pada hari ini, sesetengah punca penceraian itu bukan disebabkan oleh faktor yang besar.
"Kadang-kala hal remeh, sehingga timbul pertanyaan adakah mereka ini belum mempunyai persediaan cukup kuat untuk berumah tangga.
"Persediaan dari segi kewangan, dari segi kerjaya, dari segi kebolehan menguruskan emosi juga, ada yang tidak bersedia.
"Saya fikir timbul saja kesalahan kecil, diperbesarkan sehingga menjadi konflik, menjadi sesuatu yang meruncing dan akhirnya perkahwinan itu tidak dapat diselamatkan," katanya.
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments