Header ADS

header ads

WHO lancar strategi basmi kanser serviks


GENEVA:
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini melancarkan strategi membasmi penyakit kanser serviks di dunia, dengan menegaskan penggunaan vaksin secara meluas, rawatan dan ujian baharu mampu menyelamatkan hingga lima juta nyawa menjelang 2050.

"Menghapuskan sebarang penyakit barah umpama suatu impian yang mustahil tercapai sebelum ini.

"Namun kini, kita memiliki peralatan berasaskan bukti dan berkesan dari segi kos untuk menjadikan impian itu satu kenyataan," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam satu kenyataan.

Lebih setengah juta kes baharu kanser serviks didiagnosis di seluruh dunia, setiap tahun, manakala ratusan ribu wanita meninggal dunia akibat penyakit itu.

Malah, WHO memberi amaran bahawa angka terbabit akan meningkat secara signifikan pada tahun-tahun mendatang sekiranya tiada tindakan diambil untuk membendungnya.

Bagaimanapun, penyakit itu dapat dicegah dengan vaksin yang dipercayai dan selamat, selain boleh sembuh jika dikesan awal serta menerima rawatan sewajarnya.

Pada mesyuarat tahunan utama WHO, minggu lalu, kesemua 194 negara anggota mempersetujui perancangan menghapuskan barah itu.

WHO meramalkan sekiranya negara serata dunia tidak mengambil tindakan segera, kes barah serviks global boleh melonjak daripada 570,000 pada 2018 kepada 700,000 menjelang 2030, manakala kematian boleh meningkat daripada 311,000 kepada 400,000 dalam tempoh sama.

Melalui strategi diumumkan itu, negara serata dunia diseru memastikan sekurang-kurang 90 peratus gadis menerima vaksin sepenuhnya terhadap human papillomavirus (HPV) sebelum mencecah usia 15 tahun.

Sekurang-kurang 70 peratus wanita juga harus menjalani ujian mengesan kanser serviks menjelang umur 35 tahun dan sekali lagi ketika berusia 45 tahun.

Selain itu, memastikan sekurang-kurang 90 peratus wanita yang didiagnosis dengan penyakit itu, menerima rawatan. - AFP


______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments