Header ADS

header ads

Mungkin sudah tiba masa wujudkan bank wanita, kata pakar


Sudah tiba masanya kerajaan memikirkan untuk mewujudkan satu bank khusus untuk kaum wanita.

Begitu saranan dikemukakan pakar pengurusan pelaburan dan kewangan dalam pembangunan wanita, Jamelah Jamaluddin, bagi menggalakkan penglibatan golongan itu dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Katanya, dia memberitahu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun, bahawa kementerian itu perlu lebih memainkan peranan dalam membaik pulih ekonomi wanita, lebih-lebih lagi semakin ramai daripada mereka kini berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Berkongsi pengalamannya sebagai pegawai bank, Jamelah berkata golongan wanita merupakan pembayar hutang yang lebih baik dan mempunyai kadar lalai (default rate) yang rendah.

“Kalau perasan, sekarang ini, banyak bank mengadakan pinjaman khas untuk wanita, malah agensi seperti MARA, SME Bank, dan bank-bank pembangunan, semua ada pembiayaan khas untuk wanita.

“Saya katakan kepada YB Rina, mungkin ini adalah masa yang baik, untuk kita fikirkan apakah kita perlu mempunyai bank khusus untuk wanita, contohnya bank pembangunan wanita,” katanya dalam siaran langsung program Temu Minda di TV1 malam tadi. 

Program itu membicarakan soal kebajikan rakyat dalam cabaran Covid-19, dihoskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah dan turut dihadiri Rina sebagai seorang lagi ahli panel.

Jamelah merupakan pengarah bebas bukan eksekutif Scomi Energy Services Bhd (SESB), dan pernah berkhidmat sebagai pengarah dan ketua pengarah eksekutif di Kuwait Finance House (Malaysia) Labuan Berhad, pengarah di RHB Islamic Bank Berhad, serta pengarah SME Bank.

Dia diminta oleh Saifuddin untuk mengulas mengenai bantuan kewangan daripada institusi kewangan kepada golongan wanita.

Ketika diajukan cadangan itu, Rina berkata itu sememangnya menjadi hasrat kementerian tersebut untuk membantu membangunkan golongan wanita, bukan sekadar memberikan bantuan dalam bentuk wang semata-mata.

Malah menurut Rina angka kemiskinan dijangka meningkat daripada 400,000 orang kepada 1.5 juta orang selepas pendapatan garis kemiskinan (PGK) disemak dari RM980 kepada RM2208.

“Bila PGK disemak menjadi RM2208, kadar kemiskinan meningkat ke 5.6 peratus. Tetapi kita sebagai kerajaan yang prihatin (menerima) inilah realiti rakyat,” katanya.

Bagi memperkasa golongan wanita, kata Rina, kerajaan mempunyai banyak kursus bagi membantu mereka berkecimpung dalam bidang perniagaan dalam talian.

Ini, jelasnya, termasuklah program terbaru ‘Zero to Million’ yang akan dijalankan bulan ini dan dijangka disertai 100,000 wanita.

______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

1 Comments

  1. bank untuk wanita..?

    tak cukup ka bank yg ada..?

    kena ada yg khusus berdasarkan gender ka,,?

    bank untuk pondan tak nak buat..?

    pondan pun banyak yg kaya gak.

    ni menteri jenis cap ayam apa la tak tau

    ReplyDelete