MOSCOW: Saintis di utara Rusia menemui lokasi yang menjadi tempat perkumpulan walrus di sebuah kawasan terpencil di Laut Kara.
Reuters melaporkan,
penemuan itu suatu yang mengejutkan kerana kumpulan walrus itu terpaksa
bersesakan dan berhimpit berikutan habitat dataran ais yang diancam
penyusutan selain ancaman aktiviti manusia.
Tabiat berkumpul bukan sesuatu yang asing bagi spesies ini, namun lazimnya ia melibatkan kelompok-kelompok kecil dalam 'keluarga', dan jarang sekali ditemukan haiwan itu bersesak dalam jumlah yang besar.
Lokasi perkumpulan sangat penting bagi spesies itu kerana ia menjadi tempat untuk berehat selepas membuat renangan jauh, membiak dan bersosial. Lokasi yang ditemui itu begitu terpencil di semenanjung Yamal, dan para saintis menganggarkan sekitar 3,000 ekor walrus sedang bersesakan.
Lazimnya, tempat perkumpulan seumpamanya bertempat di atas dataran ais yang hanyut di sekitar kepulauan Artik. Namun, kitaran iklim yang lebih panas mengakibatkan banyak ais mencair dan mengancam ruang kehidupan yang diperlukan spesies itu.
Lebih memberi tekanan, adalah habitat yang musnah akibat aktiviti penerokaan minyak dan gas selain terdapat lebih banyak laluan kapal di Artik.
"Tempat
perkumpulan ini sangat unik kerana terdapat walrus jantan dan betina
tinggal bersesakan, selain daripada anak-anak walrus yang pelbagai
usia,” ujar penyelidik kanan Artik, Aleksander Sokolov, dari Akademi
Sains Rusia.
Kesatuan Konservasi Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) menyenaraikan spesies itu sebagai ‘hampir terancam’ pada tahun 2016, selain mengaggarkan jumlah keseluruhan walrus Atlantik kini hanyalah 12,500 ekor.
Sebelum pemburuan komersial haiwan itu diharamkan di peringkat antarabangsa pada pertengahan abad ke-20, populasi spesies itu sudahpun terjejas berikutan permintaan lemak dan gadingnya.
Andrei Boltunov, dari Pusat Penyelidikan dan Ekspedisi Marin, bagaimanapun berkata penemuan lokasi perkumpulan di Yamal itu memberi petanda yang baik iaitu populasi walrus Atlantik semakin memulih.
“Kami mahu percaya bahawa ini adalah petanda positif,” ujarnya, sambil menambah isu yang perlu dipantau sekarang ini adalah ketiadaan ruang yang sewajarnya untuk spesies itu.
Masalah itu disebabkan tempoh ketiadaan ais di sekitar Laut Kara semakin panjang dan itu antara lain berpunca daripada kenaikan suhu global sepanjang dekad-dekad kebelakangan ini.
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments