Chic Kut Teh; bukti kemajmukan rakyat Malaysia.
Malaysia sememangnya sebuah negara yang cukup bertuah dan istimewa
kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa. Oleh itu, tidak
menghairankan juga bahawa sajian-sajian di negara ini, walaupun berasal
dari satu bangsa, mula diubah suai dan diadaptasi oleh bangsa-bangsa
lain agar dapat dinikmati bersama.
Salah satu hidangan yang mendapat perubahan atau adaptasi ialah
hidangan sup herba Chic Kut Teh. Chic Kut Teh merupakan variasi yang
dicipta khas untuk masyarakat Melayu kerana resipi asal sajian ini
disediakan menggunakan daging khinzir iaitu daging haram dimakan oleh
masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Indahnya toleransi
masyarakat Malaysia!
Jika anda sentiasa tertanya-tanya atau terfikir bagaimana rasanya Chic Kut Teh ini, anda tidak perlu berasa khuatir, was-was mahupun takut untuk mencuba resepi ini kerana Chic Kut Teh disediakan menggunakan ayam. Bahan yang memberikan perisa klasik Chic Kut Teh itu ialah campuran herba yang digunakan. Campuran herba ini sebenarnya tidak menggunakan sebarang bahan yang diharam makan oleh masyarakat Melayu beragama Islam. Bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan campuran herba ini terdiri daripada herba Cina seperti beri goji, herba dong gui dan cendawan cina.
Terdapat campuran herba Chic Kut Teh halal yang boleh didapati di pasaran tetapi jika anda berasa ragu-ragu, anda boleh dapatkan herba-herba yang diperlukan di kedai ubat Cina.
Khasiat Chic Kut Teh
Chic Kut Teh merupakan sup herba yang diminum untuk tujuan kesihatan. Khasiat-khasiat setiap herba yang digunakan terserap dalam sup Chic Kut Teh melalui proses renehan yang lama. Fungsi kesihatan utama Chic Kut Teh adalah untuk memanaskan badan, mengurangkan sakit akibat artritis dan mengubati resdung. Malangnya, pandangan bahawa sup herba ini yang lazimnya disediakan menggunakan daging khinzir telah membuatkan ramai dalam kalangan masyarakat Melayu berasa takut untuk mencuba resepi ini kerana keliru antara nama ‘Chic Kut Teh’ dan ‘Bak Kut Teh’.
Namun begitu, jika anda ingin mencuba, anda boleh menggunakan resepi ini sebagai panduan.
Bahan-Bahan:
a) Sup Chic Kut Teh
- 8 cawan air
- 2 paket herba Bak Kut Teh, dibungkus siap
- 400g paha ayam, potong menjadi beberapa ketulan
- 6 keping cendawan shiitake kering, direndam dan dibelah dua
- 6 cendawan butang perang segar dicuci dan dibelah dua
- 2 paket cendawan padi
- 1 cawan tauhu pok, dibelah dua
- 1/2 cawan beri goji
- 4 labu bawang putih
b) Bahan Perasa
- 4 sudu besar kicap
- 2 sudu teh kicap pekat
- 2 sudu besar sos tiram
- 6 cubit lada sulah
- 1 ketulan kecil gula batu
- Garam secukup rasa
c) Sos Cicah
- 6 tangkai cili padi merah atau hijau, dihiris
- 2 sudu besar bawang putih cincang
- 2 sudu besar kicap
- 2 sudu besar kicap manis
d) Bahan Hiasan
- 1 sudu besar bawang goreng
- 1 batang daun bawang, dihiris
- 1/2 sudu besar daun ketumbar
- Cakoi
Cara-Cara:
- Isi periuk yang besar dengan air, bawang putih, herba chic kut teh, ketulan ayam, cendawan kering kecuali cendawan padi dan biar mendidih atas api sederhana besar. Apabila sup mula mendidih, kecilkan api dan biar sup mereneh selama 40 minit.
- Masukkan semua bahan perasa dan teruskan mereneh sup selama 10 minit.
- Sementara menunggu sup siap di masak, sediakan sos ciciahan dengan mencampur semua bahan sos bersama.
- Masukkan cendawan padi, tauhu pok dan beri goji ke dalam sup dan biar sup mereneh selama 5 minit saja. Hal ini demikian kerana kita mahu cendawan masih kenyal.
- Padamkan api. Hidangkan Chic Kut Teh dengan nasi putih, bahan hiasan, sos cicahan dan cakoi.
Diyakini Halal
Saya berharap perkongsian kali ini sedikit sebanyak membuka mata anda tentang perbezaan Chic Kut Teh dan Bak Kut Teh di samping menghilangkan kekeliruan dan ketakutan anda untuk mencuba sajian Chic Kut Teh ini. Jika anda apa-apa soalan, jangan segan-segan untuk bertanya kepada saya. Mudah-mudahan saya dapat membantu, khususnya dalam mencari campuran herba yang halal untuk anda.
Jangan lupa untuk kongsi dengan saya masakan Nyonya kegemaran anda dan jika anda ada permintaan masakan yang anda ingin saya dan Butterkicap kongsikan.Kalau ada permintaannya, jangan lupa untuk mengikuti Butterkicap dan saya di laman Instagram. Senang untuk kami penuhi permintaan anda itu!
______
WANITADAILY
http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline
0 Comments