Header ADS

header ads

Bina kerukunan rumah tangga


NAMPAKNYA,
fenomena perceraian di hujung usia sudah menjadi trend sekarang. Situasi itu seolah-olah terarah kepada suatu tindakan yang biasa dan bukannya dianggap pelik serta luar biasa. Dahulu, trend sebegitu jarang sangat didengari kerana kukuhnya ikatan kasih sayang sesama mereka.

Hakikatnya, ikatan kasih sayang mereka tidak seperti kita hari ini yang berbalas-balas memberikan hadiah istimewa semasa meraikan hari lahir dan ulang tahun perkahwinan, berkongsi kebahagian dengan rakan-rakan di media sosial, berbalas ayat-ayat rindu dan sebagainya.

Apa yang nyata, walaupun mereka kurang berbicara dan jarang tersenyum, namun ikatan kasih tetap terpahat dalam hati kerana rasa hormat dalam diri tetap bersema dalam jiwa yang suci.

Persoalannya, mengapa berpisah di usia senja? Walhal telah berpuluh tahun hidup bersama? Sebetulnya, lamanya tempoh usia perkahwinan bukanlah indikator yang tepat bagi mengukur kebahagiaan rumah tangga.

Sesungguhnya yang mengikat perkahwinan mereka adalah kerana adanya kesabaran yang tinggi dalam menangani kerenah pasangan masing-masing. Tambahan pula berasa malu dan tidak tergamak untuk berpisah setelah anak-anak meningkat dewasa.

Pun begitu, perpisahan tidak dapat juga dielakkan setelah berlakunya trigger atau pendorong kepada perceraian. Sebagai contoh, jika sebelum ini isteri banyak bersabar dengan kerenah suaminya, namun setelah dipukul suami, maka beliau nekad untuk failkan perceraian di mahkamah.

Begitu juga pihak suami, sekiranya sudah tidak tahan dengan kerenah isteri yang sering mengherdik dan bersikap kasar kepadanya, kemungkinan berlaku perpisahan adalah amat tinggi.

Sebetulnya, melayari bahtera rumah tangga adalah penuh dengan ranjau dan onak. Kita perlu bersabar dan banyakkan perbincangan. Rasa hormat antara suami dan isteri menjadi teras kerukunan rumah tangga. Adanya rasa hormat sesama mereka akan memancarkan sinar kebahagiaan kepada seluruh ahli keluarga. Sebelum membuat keputusan yang salah, renungkanlah kebaikan pasangan masing-masing sebelum ini. Selain itu, perlu buang sifat ‘sentiasa betul’ dalam rumah tangga dan lazimkan memohon maaf jika tersilap.

Personaliti

Sejujurnya bukan mudah untuk saling hormat-menghormati tanpa adanya keserasian. Maklumlah, personaliti dan watak suami serta isteri amat berbeza. Apa yang jelas, perbezaan cara didikan semasa kecil, persekita-ran kehidupan dan perbezaan hirarki dalam adik-beradik sama ada anak sulung, bongsu dan tengah amat mempengaruhi watak-watak pasangan masing-masing.

Jika ditambah pula dengan perbezaan harta, kedudukan dan darjat akan menjarakkan lagi perbezaan personaliti tersebut. Pun begitu, apabila hati sudah berkenan dan dikurniakan jodoh oleh ALLAH SWT, maka segala jurang perbezaan watak dan personaliti perlu dirapatkan.

Berkaitan kerukunan rumah tangga, Islam telah memberi panduan yang cukup jelas. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban).

Berkaitan peranan suami pula, Nabi SAW bersabda: “Ajarilah wanita itu dengan cara sebaik-baiknya kerana sesungguhnya perempuan itu dijadikan (seumpama) daripada tulang rusuk dan tulang rusuk paling bengkok adalah yang di atas sekali. Jika engkau memaksa meluruskannya, nescaya (patah) dan jika engkau biarkan sahaja, sentiasa ia akan bengkok. Sebab itu, nasihatlah perempuan itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ingatlah, hidup berkeluarga bukannya soal siapa menang dan kalah. Ia berkaitan dengan toleransi dan rasa hormat sesama kita. Sayangilah keluar-ga kita, semaikanlah ciri-ciri sakinah (ketenangan) dan mawaddah (berkasih sayang) dalam keluarga agar sentiasa dirahmati serta diberkati oleh ALLAH SWT.

Prof Madya Dr Huzili Hussin
Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS)
Universiti Malaysia Perlis


______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments