Header ADS

header ads

Pinang Perempuan Kematian Suami


Apakah hukumnya seorang lelaki yang telah mengajak seorang perempuan bernikah sedangkan perempuan itu baru kematian suaminya?

JAWAPAN :

Meminang itu terbahagi kepada dua yaitu sorih dan kinayah atau disebut juga dengan ta'ridh.
Arti pinangan sorih ialah pinangan yang jelas seperti berkata yang hendak meminang : Aku hendak jadikan kamu isteriku atau sudikah kamu menerima pinanganku atau seumpamanya.
Dan arti pinangan kinayah ialah pinangan dengan cara sindirian seperti berkata yang hendak meminang : Aku lihat kamu seorang perempuan yang cantik atau ramai orang yang suka kepada kamu atau seumpamanya.

Hukum meminang perempuan yang sedang dalam eddah ada perincian hukumnya seperti berikut :
Jika pinangan itu sorih yaitu pinangan yang terang jelas maka hukumnya adalah haram jika perempuan itu masih di dalam eddah samada eddah raj’ie atau eddah wafat atau eddah ba’in dengan kesepakatan ulamak.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّ التَّصْرِيحَ بِخِطْبَةِ مُعْتَدَّةِ الْغَيْرِ أَوِ الْمُوَاعَدَةِ بِالنِّكَاحِ حَرَامٌ سَوَاءٌ أَكَانَتِ الْعِدَّةُ مِنْ طَلاَقٍ رَجْعِيٍّ أَمْ بَائِنٍ أَمْ وَفَاةٍ أَمْ فَسْخٍ

Artinya : “Telah sepakat sekelian fuqahak atas bahawasanya meminang secara jelas akan perempuan yang sedang dalam eddah atau berjanji untuk bernikah dengannya adalah haram samada perempuan itu dalam eddah talak raj’ie atau eddah ba’in atau eddah wafat atau fasakh.”

Jika pinangan itu adalah pinangan dengan sindirian maka harus jika perempuan tersebut dalam eddah wafat dengan ijmak ulamak dan harus juga jika perempuan itu yang kena fasakh atau dalam eddah talak bain menurut pendapat yang kuat.

Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi :

وَأما التَّعْرِيض فَإِن كَانَت رَجْعِيَّة حرم التَّعْرِيض لِأَنَّهَا زَوْجَة وَإِن كَانَت فِي عدَّة الْوَفَاة وَمَا فِي مَعْنَاهَا كالبائن والمفسوخ نِكَاحهَا فَلَا يحرم التَّعْرِيض
Artinya : “Dan adapun pinangan secara sindirian itu maka jika adalah perempuan itu dalam eddah talak raj’ie nescaya haram ia kerana perempuan itu masih dihukumkan sebagai isteri orang. Dan jika adalah perempuan itu sedang berada dalam eddah wafat atau yang semakna dengannya seperti eddah ba’in dan yang difasakh akan nikahnya maka tidak haram pinang secara kinayah.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Kesimpulannya haram ke atas lelaki yang dimaksudkan dalam pertanyaan meminang perempuan yang sedang menjalani eddah wafat melainkan dengan sindiran.

Perempuan yang sedang berada dalam eddah talak raj'ie masih dikira sebagai isteri orang.

wallahua’lam
ustaz azhar idrus

______
WANITADAILY

http://wanitadaily.blogspot.com
https://www.facebook.com/WanitaKini
https://t.me/dapuronline

Post a Comment

0 Comments